Ziarah Ramadan 2017

ziarah-ramadan2017_banner-7x3ft

10 Jun 2017 – Bertempat di Rumah Anak-Anak Yatim Nur Hikmah, Kajang, ahli-ahli SI Malaysia (KABESA) telah turun padang untuk meraikan mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan sempena Ramadan tahun ini. MaPY-44 (kontingen Malaysia SSEAYP 2017) turut sama hadir awal di Rumah Nur Hikmah bagi menjalankan sedikit aktiviti membaik pulih dan mengemas sekitar kawasan pada hari tersebut. Kurang dua minggu sebelum Ramadan, anak-anak di Rumah Nur Hikmah telah dikejutkan dengan berita sedih pemergiaan Allahyarham Hj Othman, pengasas Rumah Nur Hikmah. Beliau juga merupakan bekas peserta SSEAYP tahun 1997 dan ahli SI Malaysia. 

Susulan dari kunjungan pihak SI Malaysia (KABESA) pada tahun lepas, Program Ziarah Ramadan pada tahun ini sekali lagi bertandang ke Rumah Nur Hikmah. Selain dari aktiviti meraikan anak-anak yatim dan ibu tunggal di sini, pihak SI Malaysia turut serta dalam majlis Tahlil bagi mendoakan Allahyarham Haji Othman sebelum sesi berbuka puasa dengan semua yang hadir di program ini. Hasil sumbangan dari kalangan ahli KABESA turut diserahkan pada isteri Allahyarham, yang kini menyambung legasi beliau menguruskan anak-anak yatim dan ibu tunggal di Rumah Nur Hikmah.

Pihak SI Malaysia dan semua ahli akan terus mendoakan kesejahteraan semua anak-anak dan ibu tunggal yang menghuni di Rumah Nur Hikmah. Program Ziarah Ramadan pada tahun ini telah mencapai objektif penganjuran yang memfokuskan pada kebajikan dan keperluan ahli, terutamanya yang komited dalam perjuangan membantu mereka yang lebih memerlukan.

****